# # 2 # 3 'sebuah persinggahan sementara': jom kongsi 19 :-
BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, May 3, 2011

jom kongsi 19 :-

Dunia adalah negara ujian dan bencana. Tiada siapa yang dapat lepas daripada dugaan dan ujian Allah SWT hatta para nabi dan rasul sekalipun, bahkan merekalah hamba-hamba yang paling berat menghadapi ujian demi ujian hingga ke hembusan nafas yang terakhir. Semakin tinggi iman seseorang, semakin tinggilah dugaan Allah SWT terhadapnya.

Justeru, Allah memerintahkan setiap umat islam agar menghadapi ujian dan dugaan hidup dengan penuh sabar kerana hanya dengan sabar sahaja terundang segala macam kebaikan atas diri kita manakala tanpa sabar, kita mungkin hilang segala-galanya juga. Kesudahan dan kemuncak nikmat bagi hamba yang bersabar adalah dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.

Antara ujian Allah SWT yang mesti dihadapi dengan penuh kesabaran adalah kematian insan yang kita sayangi. Semoga Allah SWT memimpin kita saat datang dugaan berat sedemikian. Semoga Allah SWT kuatkan iman kita saat pemergian insan yang kita sayangi.

Oleh kerana lemah iman dan kejahilan, sering berlaku dosa meratap dan meraung di kalangan masyarakat islam tatkala berlaku peristiwa kematian. Perbuatan meraung dan meratap kematian amat dimurkai Allah SWT. Amalan ini, juga dikatakan boleh 'menyeksa ' si mati yang baru sahaja mengalami derita sakaratul maut yang amat dahsyat.

Perbuatan jahiliah yang kononnya dapat mempamerkan rasa sayang itu sebenarnya menambah lagi derita si mayat. Andai manusia tahu apa yang dihadapi mayat saat itu dan andai manusia tahu betapa beratnya dosa yang sedang dilakukan, nescaya mereka menahan ratap raung kerana kasihankan para arwah di dalam kubur. Kerana itu, kita hendaklah mendengar, menghayati, dan mematuhi nasihat-nasihat nabi SAW berkenaan perkara itu.

Daripada Abi Malik al-Asyaari r.a, Rasulullah SAW bersabda: " Perempuan yang meratap meratap (pemergian si mati) jika tidak bertaubat sebelum kematiannya, akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan memakai seluar daripada tar (yang panas) dan pakaian daripada kudis gatal." (Riwayat Muslim: 935)

Melihat kepada hadis ini, nyatalah bahawa perbuatan ini adalah di antara dosa-dosa besar yang mesti dijauhi. Andai seseorang wanita (sebagaimana tersebut didalam matan hadis) pernah melakukan perbutan sedemikian semasa kematian suaminya, maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah SWT, manakala taubatnya itu dituntut disegerakan di atas dunia ini.

Sekadar bersedih dan menangis dikira tidak mengapa, malah diharuskan. Bahkan Rasulullah SAW juga pernah menangis semasa kematian anak lelakinya, Ibrahim.

Mudah-mudahan dengan keimanan serta ilmu dan kefahaman islam yang baik, amalan meratapi kematian dapat kita elakkan.

P/s: semoga ada pelajaran yang kita boleh ambik dari sini..dari petikan buku BHKT

0 dah tinggalkan jejak: